Sunday, 10 May 2020

Perjalanan ke Johor Bahru, Johor, Malaysia

 Assalamualaikum. Hai dan salam sejahtera semua!

         Nama aku Atasha. Aku mesra dipanggil Tasha oleh kawan-kawan aku dan ahli keluarga aku. Aku nak kongsi tentang pengalaman aku ke Johor Bahru, Johor. Aku banyak belajar perkara baharu melalui perjalanan aku ke sana. Kalau anda semua nak tahu apa yang terjadi semasa aku ke Johor Bahru, anda semua perlu baca blog aku sampai habis. Selamat membaca!   

          Pada akhir tahun sesi persekolahan 2019, aku dan rakan-rakan telah digemparkan dengan satu tugasan daripada mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu Travelog. Pada mulanya, aku masih terpinga-pinga. Apa itu travelog? Yang aku tahu hanyalah berjalan ke tempat yang menarik dengan keluarga tersayang. 

           Cikgu Azrena binti Yopzafran, selaku guru mata pelajaran Bahasa Melayu di kelas aku iaitu 2 Harvard terus memberikan kami sehelai kertas yang mengandungi tugasan travelog. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, travelog bermaksud sesuatu ceramah, filem, brosur dsb yang berkaitan dengan pelbagai kisah perjalanan atau pengembaraan. 


             Video Prebiu Travelog:



            Pada 6 Disember 2019, ayah aku yang mesra dipanggil "Baba" telah mengajak aku untuk pergi ke Johor Bahru. Pada ketika itu, aku sungguh berbesar hati apabila baba mengajak aku ke sana. Selepas itu, aku dan Baba mencari tarikh yang sesuai untuk kami ke Johor Bahru. Aku agak sedih kerana ibu dan adik-beradik aku yang lain tidak dapat mengikut kami ke Johor Bahru atas dasar kerja dan belajar. Walau bagaimanapun, aku terus meneruskan rancanganku untuk pergi ke Johor Bahru.

            Sehari sebelum kami bertolak ke Johor Bahru, aku dan Baba menyediakan barangan keperluan kami seperti baju, seluar dan sebagainya. Pada 13 Disember 2019, aku menunaikan solat Subuh dan terus mandi membersihkan diri dan memberus gigi supaya kelihatan putih dan bersih. Kemudian, saya terus bersarapan pagi dengan secawan teh panas dan sepinggan nasi lemak yang dimasak oleh ibu aku. Aku bersarapan bersama Baba dan ibu.


Baba bergambar di hadapan rumah 
sebelum pergi ke Johor Bahru, Johor๐Ÿก

            Sebelum masuk ke dalam kereta, aku sempat mengambil gambar Baba di depan rumah kami. Kemudian, aku bersalaman dengan ibu dan dalam sekitar pukul 8:10 pagi, tayar kereta Baba telah bergolek di jalan raya. Aku pun melambai-lambai ibu dengan perasaan yang agak sayu. Dalam kereta, aku banyak menghabiskan masa aku dengan berbual-berbual dengan Baba dan melihat permandangan yang cantik seperti matahari pagi yang boleh memberikan manusia Vitamin D
apabila manusia menerima sinaran matahari tersebut. Aku berbual-bual dengan Baba mengenai rancangan aku ke Johor Bahru.


Permandangan sepanjang perjalananan 
di Kluang, Johor.๐ŸŒณ

               Sepanjang perjalanan, aku termenung memikirkan apa yang akan berlaku di Johor Bahru. Aku sempat melihat kecantikan Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam dan Penjara Simpang Renggam dimana di situlah tempat kerja Baba yang bekerja sebagai warden penjara KX20. Destinasi kami yang seterusnya ialah KTM Rengam.

              Sebelum kami ke KTM Rengam, aku dan Baba telah pergi ke Balai Polis Rengam untuk meletakkan kereta Baba disitu semalaman. Baba terus ke perkarangan balai polis itu dan terus masuk ke pejabat balai polis tersebut untuk meminta izin dengan seorang pegawai polis yang bernama Syahirah (jika tidak tidak silap aku ketika aku melihat tag namanya pada baju uniformnya). Aku sempat melambaikan tangan aku kepadanya dan dia membalas lambaian aku dengan senyuman yang manis. Hati aku berbunga-bunga ketika itu sambil berjalan dengan Baba ke KTM Rengam.                                   
Aku bergambar di hadapan
Balai Polis Rengam.๐Ÿš“
                  Sepanjang perjalanan ke KTM Rengam, aku ternampak sebuah lukisan yang sungguh mengagumkan! Aku terlalu teruja melihat seekor harimau pada sebuah dinding di Jalan Rengam. Aku juga terfikir bagaimana sekumpulan manusia dapat menghasilkan karya agung yang memakan masa kira-kira setahun atau mungkin lebih dari itu. Aku juga dapat merasakan bahawa seekor harimau sedang melihat aku untuk menjadikan aku sebagai santapan tengah harinya. Sungguh mencuit hatiku!

Keratan surat khabar
mengenai lukisan harimau
tersebut.๐Ÿ“ฐ
Lukisan seekor harimau pada sebuah
dinding di Jalan Rengam.๐Ÿฏ















              Aku terus melihat gambar-gambar yang aku ambil sepanjang perjalanan di galeri telefon pintar milik Baba  berjenama Huawei yang berwarna biru tua. Tiba-tiba, aku terlihat sebuah gambar yang menunjukkan sehelai surat khabar yang mengandungi paparan tentang lukisan seekor harimau yang dilukis pada dinding Jalan Rengam tersebut. Aku sungguh terkejut dan sangat bangga dengan negeri kelahiranku ini. Surat khabar itu menunjukkan bahawa lukisan harimau itu mendapat pengiktirafan daripada The Green Organisatio berpangkalan di United Kingdom bertujuan menggalakkan kempen dan mengiktiraf amalan menjaga alam sekitar yang diamalkan sesebuah pertubuhan, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan kerajaan dari seantero dunia.

Kaunter tiket di KTM Rengam.๐Ÿš…

         
               Setibanya di KTM Rengam, aku terus pergi ke kaunter tiket untuk membeli tiket. Baba punya hanya ketawa kecil melihat gelagat aku hendak membeli tiket. Baba memberitahu aku bahawa tiket sudah dibeli seminggu yang lepas. Aku terus tersengih selepas Baba menunjukkan dua tiket dewasa di tangannya. Satu tiket ke Johor Bahru berharga RM13. Harga dua tiket pula ialah RM26.

Aku bergambar di perkarangan
 KTM Rengam.๐Ÿ™‹

                    Aku sempat mengambil gambar ketika aku di situ. Aku bagaikan kera mendapat pisang untuk menaiki kerta api kerana inilah pengalaman pertama aku menaiki kereta api di Malaysia. Aku sangat suka akan gambar ini kerana gambar tersebut menunjukkan aku bersemangat untuk membuat tugasan travelog aku sambil makan angin di Johor Bahru, Johor. Selain itu, gambar ini juga menunjukkan aku seorang yang comel (bagi diriku).

                                   
Aku dan Baba berswafoto
di dalam kereta api
.๐Ÿ˜‰

               Setibanya kereta api di hadapan KTM Rengam, aku terus masuk ke dalam kereta api tersebut dengan mendahului kaki kanan terlebih dahulu. Aku terus mencari tempat duduk di dalam kereta api tersebut. Seingat aku tempat duduk aku ialah di tepi tingkap. Beberapa minit selepas itu, kereta api itu bergerak ke Johor Bahru, Johor. Aku sempat berswafoto dengan Baba untuk ditunjukkan kepada ibu dan adik-beradik yang lain sebagai bukti kami menaiki kereta api. Aku berasa amat selesa duduk di dalam kereta api tersebut kerana kereta api itu mempunyai penghawa dingin yang membuatkan badan aku berasa sejuk.

Keadaan di dalam kereta api.๐Ÿ’บ
           
                    Ini adalah keadaan di dalam kereta api yang aku duduki. Di hadapan aku dan Baba terdapat sebuah keluarga yang agak bising kerana telatah anak-anak mereka yang teruja menaiki kereta api. "Ibu, tengok tu", seorang anak lelaki melihat sekumpulan pendatang asing membuat kerja-kerja pembangunan rel-rel kereta api. Aku juga amat teruja melihat keindahan alam kerana terdapat banyak kebun-kebun yang menghasilkan sayur-sayuran seperti bendi, timun, sawi dan sebagainya. Semuanya ditanam di tempat-tempat yang tinggi.

Rel-rel kereta api. ๐Ÿšƒ

              Ini adalah permandangan luar yang aku sempat  mengambil gambarnya. Banyak lori dan jentera yang digunakan untuk menghasilkan laluan kereta api yang baharu. Aku juga sempat melambaikan tangan aku kepada pendatang asing yang membuat kerja di tapak pembinaan laluan kereta api tersebut. Ada suatu ketika, aku sangat takut apabila kereta api itu terberhenti seketika kerana mempunyai masalah teknikal. Ada kalanya juga kereta api itu agak laju dan itu juga membuatkan jantung aku berdegup dengan kencang sekali. Aku juga agak gembira kerana inilah pengalaman menaiki kereta api yang tidak dapat dilupakan.

Terminal kereta api
 di Johor Bahru, Johor.๐Ÿ•ด

                             Selepas beberapa jam aku duduk di dalam kereta api bersama Baba, Alhamdulillah, aku sudah sampai ke destinasi iaitu Johor Bahru! Setibanya aku dan Baba keluar daripada kereta api tersebut, terdapat ramai orang di terminal kereta api di Johor Bahru, Johor. Aku amatlah terkejut keran terminal kereta api tersebut amatlah besar. Terdapat juga kereta api ke Woodland,Singapore yang kebanyakannya orang yang berbangsa Cina yang melalui laluan tersebut. Terdapat gerai-gerai makanan, kedai cenderahati dan tidak lupa juga kerusi urut automatik amatlah berguna kepada orang yang mempunyai maslah tulang belakang dan seumpama dengannya.

                Aku dan Baba mengambil keputusan untuk berhenti seketika selepas setengah jam berjalan sekitar Johor Bahru ini. Aku bertanya kepada Baba, "Baba, kenapa kita tak naik kereta sahaja?, lebih mudah dan cepat ke destinasi yang hendak kita pergi". Baba pun menjawab, "Berjalan dapat mengelarkan peluh dan badan akan menjadi sihat. Kekuatan mental dan fizikal juga boleh diuji dengan perkara seperti ini. Cuba lihat pelancong asing yang datang ke Malaysia ini, kebanyakan daripada mereka berjalan kaki dan meredahi segala cabaran di negara orang. Ini adalah salah satu pengalaman yang Tasha boleh praktikkan pada masa hadapan". Sungguh panjang berlebar Baba memberi kata-kata semangat untuk aku teruskan perjuangan di Johor Bahru,Johor.

Baba menjamu seleranya
bersama aku.๐Ÿ˜‹

                Aku dan Baba singgah seketika ke sebuah restoran Mamak untuk mengalas perut bagi menambah tenaga untuk meneruskan perjuangan pada hari tersebut. Kami makan dan minum di Restoran Jamilah (Mamak). Aku dan Baba menjadikan roti canai dan kuah dal sebagai alas perut kami dan minuman kegemaran kami iaitu milo ais sebagai minuman kami pada tengah hari tersebut.

                 Aku hampir berputus asa menunggu makanan untuk dihidangkan kepada kami. Mungkin kerana faktor pelanggan yang ramai yang menyebabkan pekerja-pekerja restoran itu tidak cukup tangan untuk melayan pelanggannya. Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya roti canai aku dapat juga dihidangkan kepada kami panas-panas. Aku amatlah kenyang dan bersyukur dapat menjamu selera bersama Baba.

Masjid Sultan Abu Bakar,
 Johor Bahru, Johor
.๐Ÿ•Œ
                           
                 Aku mula berjalan ke masjid yang terdekat bersama Baba. Disebabkan hari tersebut ialah hari Jumaat, Baba perlu menunaikan solat Jumaat di masjid. Kami berjalan kira-kira 15 minit untuk ke Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor. Ketika itu, sudah ramai kaum Adam ke masjid untuk mendengarkan khutbah yang pertama dan kedua. Aku dan Baba terus masuk ke perkarangan masjid. Aku masuk ke dalam masjid dan ternampak seorang pengawal keselamatan yang mengawal keluar masuk orang ke dalam masjid tersebut.

Tingkat kedua Masjid Sultan
Abu Bakar, Johor Bahru,
Johor.๐Ÿ’ฎ
             
               Keadaan di dalam masjid tersebut agak sesak kerana orang berpusu-pusu untuk masuk ke dalamnya. Masjid tersebut mempunyai dua tingkat. Pada tingkat yang pertama ialah tempat untuk orang lelaki dan pada tingkat kedua ialah tempat untuk orang perempuan. Semasa aku naik ke tingkat kedua, terdapat beberapa orang wanita yang berumur dalam lingkungan 20 tahun dan ke atas.Aku terus menelefon ibu kerana perasaan rindu sudah membuak-buak di hatiku ini. Selepas beberapa minit aku berbual-bual dengan ibu melalui telefon pintar, akhirnya ibu menamatkan perbualan kami. Aku terus duduk di dalam saf di dalam masjid itu selepas memakai telekung yang sedia ada di dalam masjid untuk mendengarkan khutbah yang disampaikan oleh khatib.


Bahagian dalam Masjid Sultan
Abu Bakar, Johor Bahru,
Johor.๐Ÿ›

       
                 Aku masih ingat lagi apa yang disampaikan oleh khatib. "Allah amat menyukai orang yang berbuat baik kepada semua orang termasuk orang kurang upaya (OKU) kerana mereka perlu dibantu dalam semua aspek kehidupan". Lebih kurang begitulah apa yang disampaikan oleh khatib tersebut.

                Selepas itu, aku pun menunaikan solat sunat dua rakaat bersama-sama dengan jemaah perempuan yang lain. Kami pula bersalam-salaman dengan mereka selepas menunaikan solat sunat dua rakaat tersebut. Aku terus mencari Baba kerana takut ditinggalkan. Tiba-tiba, satu kejadian yang tidak diingini berlaku di pekarangan masjid itu. Seorang lelaki yang berumur kira-kira 30 tahun telah meminta sedekah kepada jemaah yang datang menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut. Pengawal keselamatan yang menjalankan tugas di situ terus menghalaunya dan mengatakan bahawa
si peminta sedekah itu selalu sahaja datang pada hari Jumaat untuk meminta sedekah di masjid itu. Akhirnya, si peminta sedekah itu terus melarikan diri selepas bergaduh mulut dengan pengawal keselamatan itu.

                 Aku dan Baba terus meneruskan perjalanan untuk ke Zoo Johor yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut. Seorang lelaki telah menghampiri aku dan memberikan aku wang berjumlah RM5 sambil berkata, "Nah, ambillah. Hari ini hari Jumaat. Ini rezeki adik". Aku pada mulanya malu untuk menerima wang  tersebut tapi apakan daya, aku terus mengucapakn terima kasih kepadanya lalu lelaki tersebut tersenyum dan terus pergi dari masjid itu." Alhamdulillah, mungkin ada hikmah disebalik perjalanan aku ke sini", bisik hati kecilku.

Aku bergambar di hadapan
 Zoo Johor.๐Ÿ‘ง

                 Aku dan Baba pun berjalan untuk ke Zoo Johor. Ramai sungguh orang yang ingin masuk ke dalam zoo itu.Aku terus mengambil gambar di hadapan zoo itu sebagai kenang-kenangan. Aku pula membeli dua tiket dewasa yang berharga RM4. Selepas membayar tiket, aku terus masuk ke dalam zoo tersebut lalu disapa oleh beberapa orang daripada agensi penggambaran yang menyuruh aku dan Baba untuk berdiri di hadapan kain yang berwarna hijau pirus.

Beruang yang comel.๐Ÿป

                       Selepas mengambil gambar, kami melangkah masuk ke dalam zoo dan aku terus terpegun melihat haiwan-haiwan tersebut secara dekat dengan diriku. Aku pada mulanya melihat beruang yang berwarna coklat kehitam-hitaman yang sangat comel. Bunyi yang dikeluarkan oleh beruang itu sungguh kuat. Aku juga dapat melihat penjaga zoo yang memberi makanan kepada            beruang-beruang tersebut.

                                       
Gajah yang sungguh
besar.๐Ÿ˜

Kuda yang ditunggang
oleh kanak-kanak.๐ŸŽ

           Selepas melihat beruang, kami pergi ke kawasan peliharaan gajah pula.
Gajah di zoo itu sangat pandai untuk makan yang diberikan oleh pelawat yang datang memberikan mereka makanan. Kemudian, aku ke bahagian yang mempunyai kuda. Aku                       sungguh teruja melihat beberapa kuda yang ditunggang oleh kanak-kanak (kebanyakannya).

Tapir yang tidur.๐Ÿ˜ด

               Aku pula ke kawasan peliharaan tapir untuk melihat bagaimana mereka membiak dan hidup dengan keluarga mereka. Malangnya, tapir-tapir tersebut tidur. Mungkin tiada rezeki aku untuk melihat mereka bergerak. Tidak mengapalah. Sebenarnya, aku sangat suka akan tapir ini kerana warna kulitnya yang unik iaitu putih dan hitam dan mukanya yang agak tirus ke depan.

Aku dan Baba berswafoto
bersama unta.๐Ÿซ

                Selepas melawat ke kawasan peliharaan tapir, aku ke kawasan peliharaan unta pula. Unta-unta tersebut amatlah mesra dengan pengunjung-pengunjung zoo tersebut. Ada kanak-kanak yang memberi makanan kepada unta-unta tersebut dengan sayur-sayuran seperti kacang panjang, saderi dan sebagainya.

Aku bergambar dengan
patung monyet.
๐Ÿ’

Baba bergambar dengan
patung monyet
.๐Ÿ’

         Aku banyak mengisi masa aku di dalam zoo dengan mengambil gambar dengan haiwan-haiwan dan sebagainya. Aku sangatlah seronok dapat pergi ke Zoo Johor ini kerana dapat melihat pelbagai jenis haiwan di dalam dunia ini .Antara haiwan yang aku lihat buat pertama kalinya ialah flamingo, skunk dan lain-lain.

             
  Aku bergambar dengan burung di dalam sangkar
yang besar.
๐Ÿฆ


Aku bergambar dengan lukisan harimau.๐Ÿฏ

Aku bergambar dengan
 patung cendawan.๐Ÿ„
  Aku mengambil gambar burung  unta yang merupakan haiwan kedua 
      yang berlari laju selepas harimau kumbang.๐ŸŽ‹


Kami mengayuh pengangkutan
tersebut dengan bersemangat.
๐Ÿ•บ
Aku berswafoto
bersama Baba.
๐Ÿ‘ฉ

              Selepas mengambil gambar, Baba mengajak aku untuk bermain di tengah kolam. Kami menaiki satu pengangkutan yang diperbuat daripada plastik dan kami perlu mengayuhnya untuk menggerakkan pengangkutan tersebut. Harga untuk menyewa pengangkutan tersebut ialah RM5 setiap dua orang yang menaikinya. Pada mulanya, aku amatlah gementar untuk menaiki pengangkutan tersebut kerana aku amatlah takut berada di tengah-tengah air. Lama kelamaan, aku semakin seronok mengayuh pengagkutan tersebut.

              Selepas lima minit mengayuh, kami membuat keputusan untuk berhenti bermain. Aku pun mengucapkan terima kasih kepada pemilik pengangkutan tersebut.Selepas itu, kami pun berjalan semula ke zoo untuk pergi melawat ke kawasan peleiharaan monyet.


Monyet.๐Ÿ’

                Aku teruja melihat monyet yang bermain-main ahli keluarnya yang lain di dalam sangkar. Mereka seakan-akan membuat persembahan untuk menghiburkan pelawat yang datang ke zoo tersebut. Comel sungguh monyet-monyet itu!


Ular.๐Ÿ


        Kemudian, aku dan Baba pergi ke kawasan peliharaan ular. Ular letakkan di dalam sangkar yang berkaca dan mereka kurang bergerak berbanding dengan haiwan-haiwan yang lain. Aku suka melihat ular-ular yang bertompok-tompok. Sangat cantik dan unik.



 
          Aku berswafoto bersama Baba sebelum kami meninggalkan zoo tersebut.๐Ÿ†’
   

Tugu Zoo Johor.๐ŸŒณ



Baba berjalan di tepi
jalan raya.๐Ÿ•บ
    

                Aku sempat mengambil gambar tugu Zoo Johor sebelum kami melangkah keluar dari zoo itu.Ketika itu, gerimis sudah mula menitikkan dirinya ke bumi. Aku dan Baba bergegas ke tempat yang lebih selamat dan terlndung daripada gerimis.

Keadaan jalan raya
ketika hujan renyai-renyai
.☔

                      Kami pun berjalan dengan segera dan akhirnya kami terjumpa satu dewan serbaguna yang boleh kami merehatkan diri kami. Selepas beberapa minit merehatkan diri di situ, kami terus berjalan untuk mencari restoran yang terdekat untuk minum petang.

Baba di hadapan
 Persada Johor.๐Ÿ›
                                               
                         Aku sempat mengambil gambar Baba dari belakang. Bangunan yang berada di hadapan Baba itu ialah Persada Johor. Persada Johor ialah pusat konvensyen di Johor Bahru, Johor. Bangunan tersebut ialah tempat utama apabila ahli kumpulan Johor Coopration ingin mengadakan mesyuarat, insentif dan pameran (MICE) di negeri Johor.

Baba menjamu seleranya.๐Ÿฅ˜

Aku senyum melihat
kamera.๐Ÿ“ธ

                  Selepas beberapa minit aku berjalan bersama Baba, akhirnya kami menjumpai sebuah restoran dan kami singgah untuk minum petang di situ. Aku hanya memesan air teh limau ais sahaja manakala Baba memesan air teh limau ais dan nasi campur. Setelah kami selesai makan beberapa minit selepas itu, kami pun meneruskan perjalanan kami untuk ke hotel.

Jambatan.๐ŸŒ‰


Bangunan di Johor Bahru,
 Johor.๐ŸŒ‡

               Dalam perjalanan hendak mencari hotel, aku melalui sebuah jambatan. Kemudian, aku juga ternampak bangunan pencakar langit di Johor Bahru, Johor. Perkara tersebut membuatkan berasa lebih kagum apabila bersiar-siar di Johor Bahru, Johor.

Kedai yang menjual peralatan
sembahyang orang Buddha.⛅
Kuil Buddha.⭐

               Selain itu, aku juga melalui kuil Buddha dan kedai-kedai India yang lain. Aku sungguh teruja kerana mereka memakai Dhoti bagi orang lelaki dan Saari bagi orang perempuan.Mereka juga menyiarkan lagu Tamil yang amat sedap didengar walaupun aku tidak faham akanmaksud lagu tersebut.

Bangunan Sultan Ibrahim, Johor.๐Ÿ›

Aku sempat bergambar di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor.๐Ÿ›

Bangunan Sultan Ibrahim, Johor.๐Ÿ› #2

              Terdapat juga bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Ibrahim yang sempat aku ambil gambarnya. Bangunan tersebut berkunci dan aku hanya boleh melihatnya dar luar sahaja. Walaupun begitu, aku tetap gembira kerana dapat melihat bangunan yang bersejarah itu. Perkara tersebuatkan aku terbayang-bayang akan sejarah masa lampau yang terjadi pada negeri ini.

Laluan ke terminal kereta api Johor Bahru, Johor.๐Ÿš†
Terminal kereta api Johor Bahru, Johor.๐Ÿš†

             Kerana tidak dapat mencari hotel yang sesuai untuk kami menginap kerana semuanya sudah didiami oleh pelanggan yang lain, kami terpaksa pergi ke terminal kereta api semula untuk membeli tiket untuk ke pulang ke rumah pada hari ini juga.

             Tiket dibeli dengan harga RM13 seorang untuk ke Kluang. Kami berjalan sekitar terminal kereta api tersebut kerana kereta api yang kami akan naiki bergerak pada pukul 7:30 malam. Aku pun membeli sebungkus roti dan setin air Nescafe mocha. Aku pun makan dan minum itu sahaja memandangkan tidak sabar untuk pulang ke rumah.

Jam tangan aku yang sering aku pakai
ke mana-mana aku pergi.⌚

                 Akhirnya, aku menaiki kereta api tersebut dan terus menidurkan diri di dalamnya. Selepas beberapa jam di dalam kereta api, alhamdulillah aku sudah sampai ke KTM Kluang. Malangnya, kereta Baba berada di Balai Polis Rengam. "Aduh, takutnya", bisik hati kecilku kerana takut jika aku tidak pulang ke rumah malam tersebut.

                Kami terus berjalan meredahi hujan renyai-renyai di Kluang untuk pergi ke Terminal Bas dan Teksi Kluang untuk menaiki teksi untuk ke Balai Polis Rengam. Baba pun berbual-bual dengan pemandu teksi tersebut yang merupakan seorang lelaki yang berumur lingkungan 50 tahun. Selepas setengah jam, berada di dalam teksi tersebut, kami berterima kasih kepada pemandu teksi tersebut dan Baba membayar tambang teksi sebanyak RM30. Baba pun mengambil keretanya dan terus pulang ke Simpang Renggam dengan selamatnya.

               Akhirnya, aku singgah makan malam di Restoran Azira Seafood di Simpang Renggam untuk menjamu selera selepas seharian berjalan di Johor Bahru, Johor. Aku memesan air teh o panas begitu juga dengan Baba. Restoran itu terkenal dengan tomyamnya yang menyelerakan dan aku membuat keputusan untuk makan Tomyam Daging. Baba pula memesan sup daging bersama telur dadar, sabal belacan dan dihidangkan dengan nasi putih yang panas. Sungguh enak sekali! Kami pun makan bersama-sama. Aku tidak sempat untuk mengambil gambar di restoran tersebut kerana bateri pada telefon pintar Baba ialah 0%.

                Baba membayar hidangan kami sebanyak RM15 dan terus menaiki kereta untuk pulang ke rumah. Selepas beberapa minit, aku pun menelefon Ibu yang berada di dalam rumah. Ibu amatlah terkejut apabila mendapat tahu bahawa kami sudah pulang ke rumah.

                Aku dan Baba mengambil gambar bersama selepas seharian berjalan dan meneroka Johor Bahru. Aku pada mulanya hendak menangis kerana Baba sanggup meneman aku pergi ke Johor Bahru walaupun hanya sehari. Aku berterima kasih kepada Baba. Baba hanya tersenyum. Pada pukul 11:50 malam, aku sempat memandikan diri dan solat Isyak dan tidur dengan lenanya di atas katil di dalam bilik aku.

                Melalui penulisan blog ini, aku dapat mengekalkan warisan negeri Johor dengan   berkongsi pengalaman aku semasa berada di negeri kelahiran aku iaitu Johor Darul Takzim untuk memberi kesan yang mendalam kepan para pembaca. Sebagai contoh, dari segi bangunan bersejarah iaitu Bangunan Sultan Ibrahim. Aku ingin memperkenalkan kepada semua pelancong kerana bangunan tersebut kian dilupakan. Dari segi pakaian pula, banyak pakaian kaum India semakin melupakan baju tradisional mereka seperti Dhoti untuk pakaian tradisional untuk orang lelaki mereka. Dengan adanya penerangan di dalam blog aku ini, pembaca dapat mengenali akan pakaian tradisional kaum India.

                Baiklah, ini sahaja daripada aku. Aku berharap agar pembaca blog ini dapat menghayati apa yang aku sampaikan di dalam blog ini. Semoga blog ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya setelah aku menulis blog ini kira-kira selama 11 jam.

Sekian, terima kasih.


Sumber: